Wednesday, December 28, 2011

RUANGAN MERAPU

     Aku mula membuka mata. Kipas dinding yang berputar laju kelihatan menandakan yang aku telah sedar dari tidurku. Jam loceng berbunyi kuat. Jarum jam yang pendek tepat menghala ke nombor 6 manakala jarum yang panjang pula hampir-hampir pada nombor 2. Aku segara menukarkan posisiku dari baring ke duduk, menggeliat dan termenung selama seminit lalu terus ke bilik mandi.
     Bagaikan beribu-ribu jarum tajam menusuk ke kulitku apabila aku mencurahkan air ke seluruh anggota badanku bagi menyuci dan menyegarkan diri. Sejuk airnya tidak terhingga. Aku keluar dari bilik mandi tergigil-gigil. Lalu aku memakaikan pakaian ke seluruh badanku. Kelihatan segak sekali kombinasi baju dan seluar aku pada hari ini.
     Setelah bersarapan, aku terus berjalan menuju ke pintu. Seperti yang di dalam rancangan pada hari ini, aku akan berjumpa dengan Sara sebentar lagi. Sementara menunggu bas Rapid KL, aku asyik membayangkan senyuman Sara yang menawan ditambah pula apabila giginya dihiasi dengan pendakap gigi. Kaca matanya yang tebal menambah seribu satu seri di mata si anak dara itu.
     Bas yang aku tunggu telah sampai tepat pukul 7.00 pagi. Seperti biasa, Raju, pemandu bas yang aku kenal setelah lama menjadi pengguna utama basnya menyapa aku dengan mesra. Teet!, aku scan kad 'rabbit' aku ke mesin scanner. Hanya tinggal RM0.50 sahaja baki. Lantaklah, lain kali aku boleh reload
     KLCC, tempat yang Sara janji untuk berjumpa, telah aku pijak tanahnya. Baru pukul 10.30 pagi, masih ada 30 minit lagi sebelum dia muncul. Walaupun keinginan untuk bersiar-siar sementara menunggu kehadirannya membuak-buak, aku tetap membatukan kakiku di tempat yang dijanjikan semata-mata untuk menunggu Sara. Bak kata seorang mat dispatch yang aku tak beberapa nak ingat biodatanya, "Dalam hati ada taman". Jika benarlah penyataan dia, mungkin hatiku baru sahaja menanam benih dalam hatiku. Harap-harap indahlah taman yang aku sedang usahakan ini. 
     Pukul 11.25 pagi, barulah aku nampak batang hidung si Sara ini. Bertocang dua, serta berbaju kurung berwarna merah berbunga-bunga membuat hati aku berdegup laju secara tiba-tiba. Lidah terus kelu tak terkata.
   "Assalamulaikum." Sara memberi salam.
   "waalaikumsalam." aku menjawab, tersenyum tersipu malu, hilang machonya.
   "Dah lama ke abang tunggu Sara. Maaflah, Sara tadi tak tahu nak pakai baju apa, confuse."
   "Tak ada lah, abang baru je sampai," aku membalas sambil menyembunyikan kebenaran bahawa lebih 30 minit aku menunggu. "Sara tak lambat pun."
   Makan, benda pertama yang kita berdua lakukan setelah berjumpa. Bibir merahnya yang sentiasa bergerak menyelamatkan keadaan kerana berdebar rasanya untuk meluahkan apa-apa perkataan di bibirku. Aku hanya tersenyum mendengar ceritanya sambil kita berdua menjamu makanan di medan selera.
     "Sara rasa seronok sangat dapat jumpa abang hari ini. Lagi pun, ini kali kedua Sara jumpa dengan abang. Selalu, kita chat dekat Facebook je."

***

     Aku terkenang kembali kali pertama aku berjumpa dengan Sara. Semasa itu, aku sedang melanjutkan pelajaran di universiti dan baru sahaja mula cuti pertengahan tahun. Oleh kerana bosan dengan suasana urban Kuala Lumpur, aku telah ikut Rahim bercuti di rumah keluarganya di Seremban. Ketika itu, semasa bersiar-siar di sekitar kawasan, aku telah masuk ke dalam sebuah kedai runcit untuk membeli sekotak rokok. Di situlah aku berjumpa dengan Sara. Senyuman pertamanya yang dilemparkan kepada aku terus mencairkan hatiku. Lalu aku terus menjadi pembeli setia di kedai itu.
     Setiap kali datang, ada sahaja barang yang aku beli. Semasa Sara mengira harga barang-barang yang aku beli, aku sengaja menanyakan soalan-soalan yang merapu kepadanya. Kadang-kadang dia menjawab, dan ada kalanya juga dia enggan menjawab dan hanya membalasnya dengan senyuman yang dihiasi dengan pendakap gigi yang bersinar. Aku tidak sangka yang aku akan cair dengan gadis yang bergigi besi. 
     Pada kali terakhir lawatan aku ke kedai itu, aku meminta nombor telefon bimbitnya. Tidak sia-sia usahaku kerap ke kedainya apabila 10 digit dalam susunan tertentu telah ditulisnya pada satu kertas kecil dan diberikan kepadaku.
     Semenjak itu, kami kerap berSMS. Sebulan selepas itu, kami menggunakan chatroom di Facebook bagi menjimatkan penggunaan kredit. Selalunya kami hanya berbual kosong. Perbualan kami selama ini membawa kepada hari ini.

***

     Kembali pada apa yang berlaku sekarang. Sesudah sahaja kami menjamah makanan, ke panggung wayanglah destinasi kami. Antara Songlap, Ombak Rindu, atau Mission Impossible 4 adalah pilihan kami.
Setelah memberikan sebab-sebab yang bernas, akhirnya Sara berjaya meyakinkan aku untuk menonton filem Songlap.

BERSAMBUNG... MAAF KALAU BAHASANYA TAK BEBERAPA SEDAP

No comments:

Post a Comment