Saturday, December 31, 2011

 
     Helena. Salah satu sebab kenapa aku mengalami insomnia. Aku masih ingat lagi kali terakhir pertemuan kita.


     "Sudah tidak ada guna lagi kita berjumpa Emmett." Tangis Helena.
     "Kenapa Helena Winchester? Kenapa?"
     "Ayah sudah aturkan satu perkahwinan untuk aku. Aku tidak dibenarkan membantah."
     "Tapi," hatiku bergelora. "dengan siapakah kau akan berkahwin?"
     "Dengan Albert Holland, anak Sir Allan Holland."
     Tiba-tiba darahku menggelegak. Albert, kawan aku semenjak dari kecil dahulu sanggup merampas kekasihku. Dia sudah tahu yang aku sudah lama mencintai Helena, sanggup dia tikam belakang aku.
Aku terus mengambil topi hitamku lalu terus menuju ke pintu keluar rumah itu. Pelik, rumah ini dulunya dipenuhi dengan kebahagiaan, tetapi kini kelabu.
     "Selamat tinggal Helena." aku keluar menutup pintu.
     Kereta kudaku menunggu di luar rumah. Sam, pemandu kereta kuda itu memang hebat membaca ekspesi muka.
     "Tuan Emmett, tuan tak apa-apa?"
     "Tak ada apa-apa Sam, sekarang bawa aku pergi ke rumah Albert."
     Sam yang sudah lama bekerja dengan aku tidak perlu bertanya ke mana arah tujunya lagi. Hampir semua destinasi kebiasaanku telah dia hafal. Lalu kami terus ke rumah Albert. Dengan tenaga yang dicurahkan Steed dan Spitter, kuda-kudaku telah sampai ke tempat dituju dalam masa 7 minit sahaja.
     "Sudah sampai tuan." Sam memberitahu aku.
     Aku mengesat saki-baki air mataku sebelum keluar dari kereta kuda. Ya, aku menderita di dalam kereta kuda itu. Takdir begitu kejam padaku.
     Butler Albert, Jameson menyambut kehadiranku seperti biasa dibuatnya setiap kali aku melawat Albert.
     "Selamat petang tuan, tentu tuan ingin berjumpa dengan Albert. Nanti saya panggil dia."
     Aku menunggu selama 5 minit di ruang tamu sebelum Albert muncul. Hatinya sungguh gembira sekali. Mana tak gembiranya apabila perempuan paling menawan Winshire berada dalam genggaman.
     "Wah, gembira sekali kau Albert," aku menyindir. "Ada apa kau gembira begini?"
     "Aku akan dikahwinkan dengan wanita paling menawan sekali Emmett. Takkan aku tidak bergembira."
     "Oh, siapakah perempuan bertuah itu?"
     Albert yang mulanya bahagia mula perasan dengan sindiranku. Senyumannya bertukar muram. Dia mula menangkap bahawa aku hanya menyindir tadi.
     "Emmett, aku minta maaf Emmett. Ianya berlaku begitu pantas. Dengan hanya satu pandangan ke matanya, aku telah jatuh cinta. Aku mesti memilikinya. Aku harap kau faham Emmett. Helena, dia..."
     "Sanggup kau Albert, aku tidak sangka kau sanggup berlaku kejam pada kawanmu sendiri. Dulu semasa remaja dahulu, kau dan aku suka pada Milena Johnson, tetapi kerana kau suka padanya, aku memberi peluang kepada kau. Tetapi sekarang!" Aku melenting tidak dapat mengawal emosiku.
     Albert tidak dapat memberi rasional lagi atas tindakannya. Tangannya menggenggam erat seperti orang yang marah. Adakah aku yang bersalah dalam hal ini?
     "Aku rasa lebih baik kau keluar dari rumah aku Emmett. Kau dan aku bukan lagi kawan. Aku tidak mahu lihat lagi muka kau."
     Persahabatan yang terjalin semenjak dari kecil dibuang begitu sahaja. Albert memang keterlaluan. Amarahku terus bertukar menjadi sesalan sesudah sahaja mendengar kata-kata negatif Albert.
     "Sia-sia sahaja kita berkawan selama ini Albert. Aku harap kau akan terbakar di akhirat kelak."

     Aku terus pulang dan mengurung diri di rumah selama tiga bulan. Makan dan minumku tidak dijaga. Bulu-bulu di muka yand dahulu merimaskanku telah menjadi sebati dengan aku. Surat-surat yang sering dihantar oleh Helena semasa aku belajar di universiti dahulu menjadi penemanku. Aku jarang tidur.
     Akhirnya tibalah tarikh yang menderitakan. Hari ini, 13 Julai 1894, hari di mana Albert Holland akan dikahwinkan dengan Helena Winchester. Aku masih terperap di dalam bilik membayangkan kehidupan Albert dan Helena yang bahagia. Mereka mesti menertawakan aku dengan keadaanku sekarang ini. 
     Tiba-tiba pintu bilikku diketuk. Aku membuka dan mendapati Sam yang berdiri di hadapanku menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Aku masuk ke dalam bilik lalu terus membuka dan membaca isi kandungan surat itu.

kehadapan kekasihku, Emmett, aku harap kau sihat. Perkahwinanku dengan Albert akan berlangsung tidak lama lagi. Walaupun akan dikahwinkankan dengan Albert, aku mahu kau tahu bahawa hatiku adalah milikmu. Tidak ada satu saat pun aku tidak mengingati kau selama kita berkenalan. Walau bagaimanapun, aku berharap bahawa kita dapat teruskan hidup walau tuhan tidak mengizinkan kita bersama. Aku juga sentiasa berharap bahawa akan pada suatu hari nanti di mana tuhan akan mengizinkan kita bersama. Tapi apakan daya. Oleh itu, walau betapa pedih hati ini, aku harap kau dapat meneruskan hidup. Binalah hidup bersama orang lain kerana hidup keseorangan begitu menyeksakan.  

Kekasihmu,
Helena

      Tujuh tahun sudah berlalu semenjak aku pertama kali membaca surat itu. Semalam aku mendapat berita bahawa Helena telah membunuh diri. Dia telah meninggalkan sepucuk surat yang menyatakan dia tidak bahagia berumah tangga bersama Albert menyebabkan dia berlaku sedemikian. Aku menziarahi pusaranya bersama isteriku, Fiona dan juga anakku Helen yang baru berusia tiga tahun. Fiona mengetahui hubunganku dengan Helena kerana aku tidak pernah berahsia dengannya. Kami bahagia bersama. Tafsiranku yang aku tidak akan bahagia bersama orang lain selain Helena ternyata tidak benar. Menziarahi kuburnya benar-benar mengembalikan nostalgia. Kenangan aku bersamanya walau samar-samar kembali ke benakku satu per satu. Aku meninggalkan pusara itu meninggalkan sekuntum bunga ros hitam kegemarannya.

SELAMAT TINGGAL HELENA


MINTA MAAF KALAU ADA KESILAPAN DALAM PENULISAN

No comments:

Post a Comment